PUTRAJAYA: Terdapat 72,348 kes pembahagian harta pusaka yang tertunggak ketika ini dengan Kedah dan Selangor, masing-masing mencatat jumlah tertinggi iaitu 13,423 dan 10,358 kes, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju.

Bagi menyelesaikan kes tertunggak itu, Ali berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah menambah baik Sistem Pengurusan Tanah Persekutuan dan Pembahagian Pusaka (MyeTaPP) serta memohon lantikan 100 kakitangan secara kontrak daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, kakitangan kontrak terbabit akan ditempatkan di Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di negeri-negeri yang mempunyai kes pembahagian harta pusaka yang tertunggak tertinggi.

"Lantikan kontrak ini adalah penyelesaian jangka pendek, 100 kakitangan ini akan membantu 240 kakitangan BPP JKPTG sedia ada (seluruh negara) untuk selesaikan kes terbabit mengikut sasaran kita iaitu dalam masa tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pentadbiran Tanah sempena Sambutan Hari Tanah Negara 2022 di sini hari ini.

Ali berkata penambahbaikan MyeTaPP dilakukan untuk memastikan pentadbiran tanah sentiasa relevan dengan mengambil kira keperluan semua pihak berkepentingan serta sentiasa kekal berdaya maju menerusi adaptasi teknologi terkini.

Ali berkata draf pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 24 Jun lepas untuk disemak sebelum akta terbabit dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Pindaan Akta 98 telah diluluskan di Parlimen pada Disember lepas dan mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk diwarta dan dikuatkuasakan.

Pindaan itu melibatkan skop mewujudkan tafsiran dan peruntukan baharu meliputi bidang kuasa penyelesaian harta pusaka kecil yang lebih meluas serta menyediakan pelbagai alternatif untuk memberi kemudahan kepada rakyat dalam pengurusan permohonan pembahagian harta pusaka kecil.

-- BERNAMA