KUALA LUMPUR: Adalah lebih baik jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga hujung tahun.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad, pembukaan sekolah tidak perlu diumumkan dalam satu tempoh tertentu selagi pihak KPM masih belum mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan berkesan.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah maklumkan anak-anak yang di bawah umur 18 tahun ke bawah tidak akan divaksinasikan.

“Sedangkan kita tahu kanak-kanak juga terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan varian baru COVID-19.

“Oleh itu, pembukaan sekolah tidak sepatutnya dilakukan atau diumumkan sehingga KPM telah mempunyai SOP yang jelas dan berkesan bagaimana untuk uruskan kumpulan murid-murid yang yang kategori non-vaksin,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, ujar beliau, setiap murid mempunyai keluarga dan apakah jaminan bahawa murid-murid yang akan ke sekolah tidak berisiko menjadi pembawa atau 'carrier' virus ke dalam keluarga mereka?

“Bolehkah tanpa jaminan keselamatan, sekolah-sekolah dibuka semula?

“Dalam pada itu, amalan PdPR sepanjang 15 bulan lalu didapati telah diamalkan dengan pelbagai penambahbaikan dari guru-guru.

“Prestasi keputusan SPM 2020 yang terbaik dalam tempoh lima tahun lepas telah membuktikan tiada keperluan bagi KPM secara tergesa-gesa untuk membuka sekolah pada bulan September 2021,” jelasnya lagi.

BACA: 61 peratus guru terima 1 dos vaksin, sekolah buka pada 1 September - KPM 

Beliau yang mengambil maklum akan pengumuman KPM hari ini bahawa PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021 turut mempersoalkan apa akan terjadi jika ada ibubapa yang masih tidak bersedia membenarkan anak-anak ke sekolah semula pada bulan September atas sebab bimbangkan keselamatan nyawa?

“Adakah PdPR akan diteruskan serentak semasa sesi persekolahan berjalan? Adakah guru-guru perlu melakukan dua beban pengajaran (di dalam kelas dan juga PdPR).

“Adakah adil pada murid-murid yang tidak hadir ke sekolah jika PdPR tidak lagi dilaksanakan selepas sekolah dibuka semula?” soalnya lagi.

Pengumuman itu pada hemat beliau sebenarnya tidak membawa apa-apa kesan yang besar pada keadaan murid-murid, guru-guru dan ibubapa.

Sehubungan dengan itu jelasnya, sepatutnya KPM membuat keputusan umumkan untuk meneruskan PdPR sehingga hujung tahun 2021 kerana itu lebih praktikal, teratur dan sesuai.