GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa lebih enam jam untuk memindahkan seekor gajah jantan dewasa di Jalan Subong, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah, di sini pada Sabtu.

Ketua Translokasi Gajah Liar RPT Sungai Terah Jimmy Unau berkata gajah liar yang diberi nama 'Dee Subong' dengan anggaran berat 2.5 tan itu ditangkap pada 9 pagi, Khamis lepas setelah dipercayai merosakkan beberapa tanaman lebih 300 pekebun di kawasan terbabit.

"Operasi pemindahan bermula pada 8.30 pagi tadi dengan melibatkan 24 anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu dan Perhilitan Kelantan selain turut menggunakan dua ekor gajah denak dari pusat konservasi berkenaan.

"Operasi mengesan gajah jantan ini dilakukan sejak Isnin lepas (6 Mac) selepas menerima aduan daripada penduduk pada 28 Feb lepas," katanya kepada pemberita di RPT Kesedar Sungai Terah di sini pada Sabtu.

Jimmy yang juga Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka berkata gajah tersebut dipercayai berasal dari Hutan Simpan Nenggiri yang berhampiran kawasan berkenaan dan akan dilepaskan ke habitat asalnya selepas ini.

Sementara itu, pekebun, Mohamad Hanifa Mohd Zain, 31, melahirkan rasa syukur dan berharap pihak berkuasa mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah gajah liar.

"Terima kasih diucapkan kepada Perhilitan dan pihak yang terlibat atas kecekapan menangkap dan memindahkan gajah ini kerana kejayaan ini merupakan kali ketiga operasi pemindahan gajah dilakukan dalam tempoh empat tahun di kawasan kebun kami," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 pekebun di RPT Kesedar Sungai Terah berada dalam ketakutan untuk keluar bekerja selepas menemukan beberapa kesan tapak kaki gajah liar menceroboh di kebun mereka sejak bulan lepas.

-- BERNAMA