KUALA LUMPUR: Sejumlah RM293.7 juta diperuntuk kepada Johor tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan, cerun dan bangunan persekutuan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 pula, terdapat 11 projek telah diluluskan untuk negeri itu yang melibatkan kos sebanyak RM2.14 bilion.

"Inilah kerjasama baik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dijalinkan demi memastikan keselamatan serta keselesaan rakyat Malaysia MADANI dijaga sebaiknya," kata beliau dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Nanta berkongsi perkara itu susulan kunjungan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ke ibu pejabat Kementerian Kerja Raya di sini.

Beliau berkata perbincangan berkaitan infrastruktur jalan persekutuan dan projek pembangunan di bawah kementerian itu yang memberi manfaat kepada rakyat menjadi antara inti pati utama kunjungan berkenaan.

"Semasa pertemuan tadi, saya turut menyatakan hasrat kepada Kerajaan Negeri Johor untuk memperluas pelaksanaan program MyJalan ke Negeri Darul Ta'zim ini.

"Ibarat langkah kanan, hajat kami disambut baik Menteri Besar Johor. Jadi untuk orang-orang Johor, nantikan MyJalan ke tempat anda," katanya.

-- BERNAMA