MALAYSIA
Lebih setengah juta pengguna alami gangguan bekalan air di tiga daerah di Terengganu

Gangguan dipercayai akibat masalah teknikal selepas suis utama Loji Air Kepong dipanah petir pada petang Jumaat. - Foto Astro AWANI
Lebih 700 ribu penduduk di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang mengalami gangguan bekalan air bermula malam tadi.
Gangguan dipercayai akibat masalah teknikal selepas suis utama Loji Air Kepong dipanah petir pada petang Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Atemin Sulong berkata hampir 80 peratus penduduk terutamanya di bandar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan mengalami gangguan itu manakala 30 peratus lagi di daerah Marang.
"Sebahagian besar kawasan mula mengalami gangguan bekalan air bermula 7.30 malam tadi dan sebahagian lagi akan menghadapi tekanan air yang rendah," katanya selepas meninjau loji air terbabit di sini awal hari ini.
Dalam tempoh membaikpulih kerosakan, pihaknya akan menghantar bekalan air bersih menggunakan lori bagi menampung keperluan penduduk.
Penduduk juga diminta menyimpan bekalan air secukupnya sehingga keadaan pulih seperti sediakala.
"Orang ramai boleh melaporkan segera jika menemui sebarang kebocoran yang dijumpai dan untuk keterangan lanjut pengguna boleh menghubungi petugas SATU di careline SATU 1-300-882-111," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami