KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Pakej WPC11 (Sungai Tangap-Pujut Link di Miri, Sarawak) yang dijadualkan siap secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2026 telah mencapai tahap 89 peratus, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata peratusan itu tidak termasuk pembinaan jejambat berukuran 400 meter dan pengalihan utiliti paip bekalan air sepanjang 4.5 kilometer di lokasi terbabit.

"Difahamkan, semasa kerja-kerja pembinaan tambakan jalan dilaksanakan di kawasan ini, tanah yang ditambak telah mengalami masalah mendapan sehingga 0.5 meter.

"Pasukan Projek Pan Borneo telah mengesyorkan supaya struktur jejambat dibina di atas jajaran laluan yang mengalami masalah mendapan tanah," katanya.

Beliau berkata reka bentuk jejambat itu sudah dimuktamad dan akan dibina pada suku ketiga tahun ini serta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Nanta turut memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembinaan jejambat itu tidak akan mengganggu aliran trafik di kawasan terbabit kerana pengguna masih boleh melalui jalan sedia ada bersebelahan tapak projek.

-- BERNAMA