Lelaki acu senjata api, ugut jiran direman tujuh hari

Tertuduh diperintah menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini oleh Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi di Mahkamah Sungai Petani. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu polis melengkapkan siasatan sabitan kes mengacu pistol terhadap jiran di Bandar Laguna Merbok, di sini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi di Mahkamah Sungai Petani bermula hari ini sehingga 14 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, hasil ujian air kencing suspek berusia 30-an itu positif dadah jenis ketamin.
Katanya, polis menerima panggilan daripada seorang wanita warga emas jam 8.45 pagi Ahad memaklumkan dia diugut seorang lelaki bersenjatakan pistol.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terus ke lokasi dan hasil pemeriksaan polis menemui senjata api dan penahanan suspek dilakukan selepas itu.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan jirannya berikutan siri pertengkaran sebelum ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


