MALAYSIA
Lelaki ada 44 rekod lampau disyaki curi kabel ditahan

Suspek turut mengaku terlibat dalam kes curi kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada Februari lepas. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang lelaki yang mempunyai 44 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh selepas bergelut dengan polis pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, lelaki berumur 35 tahun itu telah bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu semasa pegawai polis memperkenalkan diri di hadapan sebuah kedai di Jalan Tengku Ismail kira-kira 10.30 pagi.
"Lelaki terbabit telah memandu secara melulu serta melanggar tebing jalan dan terbabas sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
"Berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sebelum lelaki positif dadah itu akhirnya berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan malam tadi.Mazlan berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan curi kabel antaranya tukul besi dan pengunci besi pembuka manhole, selain sejumlah pil yaba.
Hasil pemeriksaan lanjut juga, katanya, suspek mengaku terlibat dalam kes curi kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada Februari lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami