Seorang lelaki meninggal dunia selepas diserang seekor jerung di perairan timur laut Australia pada Isnin, yang menurut polis merupakan insiden ketiga dalam tempoh dua bulan di kawasan pelancongan popular, lapor Reuters.

Lelaki berusia 33 tahun itu sedang mendayung sambil berdiri di atas papan luncurnya sebelum berenang menjauhi kapal layar yang disewanya di Cid Habor, dekat kepulauan Whitsunday Island apabila dia tiba-tiba digigit seekor jerung pada jam 5.30 petang.

“Mangsa telah dibawa ke pantai sebelum dipindahkan ke Hospital Mackay. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia,” ujar jurucakap polis dalam satu kenyataan.

Mangsa yang tidak sedarkan diri mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kaki dan juga sebelah tangannya. Dia telah diberi bantuan pernafasan sebelum digegaskan ke hospital.

Kepulauan Whitsunday merupakan kawasan pelancongan yang terletak 900 kilometer di timur laut Brisbane. Sehingga kini, kes serangan jerung amat jarang berlaku.

Di lokasi yang sama pada September lalu, dua insiden seumpamanya terjadi. Dua hari berturut-turut, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 46 tahun cedera parah akibat diserang jerung.

Australia berada di tangga kedua di belakang Amerika Syarikat dari segi kes serangan jerung terhadap manusia pada tahun 2017, menurut rekod serangan jerung antarabangsa Universiti Florida.