NATIONAL
Lelaki berparang samun penjual bunga di kuil

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup memaparkan kehadiran suspek menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga.
KUALA LANGAT: Sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyamun seorang penjual bunga di sebuah kuil di Jenjarom, di sini, pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 4.50 petang daripada seorang wanita.
"Dalam kejadian itu, mangsa bersama anak perempuannya tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki disyaki warga tempatan yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 1.30 petang.
"Suspek yang menutup muka dan bersenjatakan parang bertindak mengacukan senjata itu kepada mangsa sebelum menarik rantai emas di leher mangsa lalu melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, mangsa kerugian kira-kira RM4,000, namun tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa dan anaknya.
"Kes masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek giat dilakukan untuk tindakan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil di balai polis berdekatan selain menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami