KUALA LUMPUR: Sebelas pencipta kandungan tempatan yang mendapat undian tertinggi daripada pengguna TikTok di Malaysia bakal mewakili negara pada edisi sulung TikTok Awards Southeast Asia 2026 yang akan berlangsung di Bali, pada 27 November ini.
TikTok dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan wakil Malaysia dimuktamadkan selepas fasa undian awam bagi kategori Calon Negara (Country Nominees) yang berlangsung dari 12 hingga 26 Oktober lalu, dengan lebih 5.3 juta undian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Antara nama yang akan membawa cabaran Malaysia di pentas serantau ialah Adam Shamil bagi kategori Creator of the Year, Ikhmal Nour (TikTok LIVE Creator of the Year) dan Pudds atau @deadpudds dalam kategori Lifestyle Creator of the Year.
Pengurus Besar Operasi Kandungan Asia Tenggara TikTok, Angga Anugrah Putra berkata, kesemua pencipta kandungan yang dipilih bukan sahaja menampilkan karya kreatif, malah berjaya memberikan impak positif kepada komuniti serta pertumbuhan ekonomi digital.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada kesemua 11 pencipta kandungan tempatan yang terpilih menerusi undian sebagai wakil Malaysia.
“Mendukung tema ‘The Ones Who Spark It’, mereka bukan sekadar berkarya, malah mencerminkan nadi sebenar komuniti setempat dengan menterjemahkan minat kreatif kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara serta impak sosial yang positif,” katanya.
Menurut beliau, komuniti TikTok di Asia Tenggara yang kini merangkumi lebih 460 juta pengguna membuktikan bahawa idea dan inspirasi daripada seorang pencipta kandungan mampu merentasi sempadan negara serta menyatukan kepelbagaian budaya.
Beliau berkata, platform itu komited menyediakan ruang yang lebih luas kepada pencipta kandungan untuk membina komuniti yang lebih inklusif, mengembangkan perniagaan secara mampan dan terus memberi inspirasi kepada khalayak di peringkat serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum), Mediha Mahmood berkata, kandungan digital yang dibangunkan secara bertanggungjawab berpotensi memacu kemajuan sosial, meningkatkan taraf hidup masyarakat dan merancakkan ekonomi.
Menurutnya, pencipta kandungan pada masa kini bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi kreatif, malah berperanan memberi inspirasi kepada generasi baharu inovator dan usahawan tempatan.
“Kami amat berbangga melihat bakat luar biasa anak Malaysia diraikan di persada serantau,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Malaysia bagi kategori Creator of the Year, Adam Shamil menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar buat dirinya, pasukan serta komuniti peminat yang sentiasa memberikan sokongan.
Beliau berkata, kandungan digital kini bukan sekadar medium penceritaan, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat, memacu pertumbuhan perniagaan dan membuka peluang ekonomi kepada lebih ramai individu.
“Sebagai anak jati Borneo, saya bangga dapat membawa cerita dan daya kreativiti tanah air kita ke khalayak serantau yang lebih luas. Semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk terus mengejar minat dan menterjemahkan idea mereka menjadi sesuatu yang bermakna,” katanya.
Turut mewakili Malaysia ialah Nabil Nazrol (Rising Creator of the Year), Sir Asai (Education Creator of the Year), Amaranas (Sports Creator of the Year), Chesayang Kitchen (Food Creator of the Year), Leonsmeonss (Entertainment Creator of the Year), Gigi Cheoh (Beauty & Fashion Creator of the Year), Moses Wong (Popular Video of the Year) dan Sally Woo (TikTok Shop Creator of the Year).