KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan suspek yang membunuh ibu bapanya di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala, dekat sini pada Sabtu mempunyai sembilan rekod kes jenayah dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu didapati bertindak menikam kedua ibu bapanya berusia 72 dan 82 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat jam 7.43 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan keluarga antara seorang lelaki tempatan dengan ibu bapanya.

"Akibat kejadian tersebut, pasangan suami isteri ditemui terbaring di lantai rumah dipercayai ditikam.

"Siasatan lanjut kes ini sedang diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Amihizam berkata, suspek yang merupakan anak lelaki si mati telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dengan lokasi kejadian.

Menurutnya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah melakukan gerakan memburu suspek.

Jelasnya, suspek berjaya ditangkap pada hari sama jam 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuh Raya Sprint menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya lagi, pihak polis berjaya menyelesaikan kes tersebut dalam tempoh dua jam 40 minit.