KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 42-tahun yang dipercayai membunuh ibu bapanya di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala berjaya diberkas polis pada malam Sabtu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.

Jelasnya, pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian ketika ini.

"Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," jelasnya ringkas ketika dihubungi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara suspek dan kedua-dua mangsa sebelum kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam Sabtu, sebelum mayat pasangan warga emas itu ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.

Suspek bagaimanapun dikatakan cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Polis turut menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM sebelum suspek berjaya diberkas.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.