KOTA TINGGI: Suspek lelaki etnik Rohingya yang membunuh isterinya dengan kejam menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam pada pagi Jumaat, ditahan reman selama enam hari.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar di Mahkamah Majistret di sini pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Advertisement
Lelaki berusia 35 tahun yang mengenakan pakaian lokap kelihatan tenang ketika tiba di mahkamah pada jam 10.10 pagi dengan diiringi anggota polis.
Pada Jumaat, seorang wanita hamil tujuh bulan maut dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, maklumat berhubung kejadian tragis itu diterima pada jam 7 pagi.
Jelasnya, suspek berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi. - Sinar Harian