GEORGE TOWN: Seorang lelaki cedera selepas kenderaannya dirempuh sebuah kereta mewah yang dipandu melawan arus dalam kejadian di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian jam 12.30 pagi, pemandu kereta jenis Perodua Bezza yang datang dari Jambatan Pulau Pinang menuju ke pusat bandar bertembung dengan kereta jenis BMW yang dipandu oleh seorang wanita.

Menurutnya, pemandu Perodua Bezza itu dari Sungai Petani menuju ke Taman Kristal Mount Erskine sebelum terlibat dengan kemalangan di susur keluar jambatan terbabit.

"Akibat perlanggaran itu pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan pada bahagian abdomen dan masih menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang manakala pemandu BMW itu pula masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta akibat kecederaan di bahagian dada.

"Setakat ini, keterangan daripada kedua-dua pemandu masih belum dapat diambil kerana masih menerima rawatan lanjut dari pihak hospital," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Soffian berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut, Inspektor Mohd Azli Khairil bin Mat Lazin di talian 019-5946806 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian