Lelaki dan wanita ditemui meninggal dunia di rumah, dipercayai lebih seminggu

Mayat seorang lelaki dan seorang wanita ditemui di sebuah rumah sewa di kawasan U13, Setia Alam, hari ini, kedua‑duanya dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu. - Foto PDRM
SHAH ALAM: Polis mengesahkan penemuan dua mayat, masing‑masing seorang lelaki dan seorang wanita, di sebuah rumah sewa di kawasan U13, Setia Alam, semalam, dengan kedua‑duanya dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada seminggu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol, berkata kejadian disedari selepas seorang lelaki yang merupakan ahli keluarga salah seorang mangsa membuat laporan polis sebaik menemui kedua‑dua mayat di dalam rumah berkenaan.
Siasatan awal bersama Unit Forensik IPK Selangor mendapati rumah berada dalam keadaan bertutup tetapi pintu besi hadapan tidak berkunci, tiada kenderaan ditemui dan keadaan rumah teratur.
Mayat mangsa lelaki, 39 tahun, dan mangsa wanita, 36 tahun, ditemukan dalam sebuah bilik di tingkat bawah, di mana kedua‑duanya dalam keadaan reput, tiada kecederaan ditemui pada tubuh badan dan tiada unsur jenayah dikesan.
Mayat kedua‑dua mangsa akan dihantar ke Hospital Shah Alam bagi tujuan bedah siasat.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report atau SDR) dan kertas siasatan akan diambil alih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6 di sini.
Polis meminta mana‑mana individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ketua Polis Balai Seksyen 6, Insp. Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355.
ACP Ramsay menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lengkap polis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


