ALOR SETAR: Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu membabitkan pelaburan francais dan tawaran jawatan ketua pegawai eksekutif melibatkan kerugian RM782,380 pada 2022 dan 2023.
Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Eliana Ismail dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Di hadapan Majistret Eliana, lelaki itu didakwa menipu dua individu berusia 42 dan 55 tahun untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM83,500 serta RM362,000 untuk tujuan modal perniagaan francais Bubblebee yang tidak wujud.
Dia juga didakwa menyerahkan sekeping cek atas akaun bank telah ditutup bernilai RM5,040 kepada seorang lagi individu sebagai pembayaran pembelian 500 cawan minuman Bubblebee dengan niat memperdaya mangsa mempercayai pembayaran itu sebagai sah.
Tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Alor Setar antara 28 Mac hingga 12 Ogos 2023.
Di hadapan Majistret Nur Syifa, Mohamad Jaylani didakwa menipu individu berusia 49 tahun untuk menyerahkan wang tunai RM250,500 bagi modal perniagaan francais sama yang tidak wujud.
Lelaki itu didakwa memperdaya seorang lagi berusia 42 tahun untuk menyerahkan wang RM55,000 dengan menawarkan jawatan ketua pegawai eksekutif dan pelaburan dalam syarikat tidak wujud.
Mohamad Jaylani juga didakwa menipu seorang lelaki berusia 39 tahun untuk menyerahkan wang tunai RM26,340 untuk tujuan penjualan sebuah kereta Mercedes dari Indonesia yang tidak wujud.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Alor Setar antara 17 Mac 2022 hingga 1 Sept 2023.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM24,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 9 Dis untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar dan Pegawai Perundangan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar Inspektor Mohamad Zaki Che Idris manakala peguam Ainunhawa Azhar mewakili lelaki itu.
-- BERNAMA