KULIM: Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai, di sini, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Saffuan Md Noor berkata, kejadian berlaku apabila lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit pada jam 1.20 tengah hari.

"Mangsa dikejar dua suspek dari luar kedai dan ketika cuba melarikan diri dengan memasuki kedai kopi berkenaan, mangsa ditetak menggunakan senjata tajam hingga rebah sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

"Serangan itu mengakibatkan mangsa mengalami luka parah di tangan, dada, belakang badan dan bahagian muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Saffuan berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan ketika ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Asisten Superintendan Azmirul Abd Aziz di talian 019-4446521 atau IPD Kulim di talian 04-4906222.