Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dakwaan dia memukul anak teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Ubi Baru di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Shahurinain Jais berkata, lelaki itu dicari selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian daripada bapa kandung mangsa yang dibuat di Tangkak pada Khamis lepas sebelum kes dirujuk kepada pihaknya.

"Menerusi laporan bapa mangsa yang berumur 33 tahun itu, dia mendakwa anak lelakinya yang berumur enam tahun menceritakan dipukul oleh teman lelaki si ibu semasa berada di Johor Bahru," katanya menerusi kenyataan, di sini pada Ahad.

Shahurinain berkata, bapa dan ibu mangsa telah bercerai pada Februari lepas dan ketiga-tiga anak termasuk mangsa dijaga oleh bapa, datuk dan nenek mangsa di Tangkak.

Beliau berkata bapa mangsa mendakwa bekas isterinya yang berumur 31 tahun itu pulang beraya di Tangkak pada 21 Jun lepas dan membawa mangsa pulang ke bandar raya ini dan Perak sebelum menyerahkan kembali kepadanya di Tangkak, Khamis lepas.

Katanya, bapa mangsa yang merupakan pekerja kilang kemudian menyedari terdapat lebam pada bahagian mata sebelah kanan, bengkak pada bahagian kepala, kesan pukul pada belakang badan, kesan lebam dan luka pada paha kiri mangsa ketika mangsa kembali kepadanya.

"Bapa mangsa mendakwa sebelum bekas isterinya membawa mangsa bersamanya, tiada sebarang kecederaan pada muka dan badan mangsa melainkan kesan kudis dan alahan di siku kanan dan kiri," katanya.

Beliau berkata kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

-- BERNAMA