Lelaki ditahan paksa kekasih gugur kandungan

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki memaksa kekasihnya mengambil ubat bagi menggugurkan kandungan di Bandar Country Homes, Rawang, semalam. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki memaksa kekasihnya mengambil ubat bagi menggugurkan kandungan di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Hospital Sungai Buloh kelmarin (3 Dis).
"Susulan pengambilan ubat itu, wanita warga tempatan berusia 19 tahun telah melahirkan bayi secara pramatang pada usia kandungan lapan bulan di sebuah klinik swasta di Rawang pada Selasa lepas (2 Dis)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata remaja perempuan itu bersama bayinya kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, namun bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi pramatang serta kekurangan oksigen ke otak.
Katanya suspek lelaki itu kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan, manakala wanita terbabit turut disiasat sebagai suspek dalam kes tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Insp S. Prakash di talian 012-2940827 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222," katanya.
Dalam kes berasingan, lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu insiden pergaduhan yang mengakibatkan kematian di Selayang Baru, Batu Caves, pada Selasa lepas.
Noor Ariffin berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada isteri mangsa yang memaklumkan pergaduhan berkenaan berlaku antara suaminya dan adik lelaki mangsa.
"Mangsa yang mengalami kecederaan serius dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada 5.32 petang hari yang sama.
"Susulan kejadian itu, polis menahan lima lelaki berusia 22 hingga 43 tahun, manakala 13 lagi suspek sedang dikesan," katanya sambil menambah semua yang ditahan kini direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mazlan Ali di talian 013-2734070 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262222, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


