PARIT BUNTAR: Seorang lelaki yang ditahan kerana membunuh ibu kandung sendiri dengan mengerat kepada 15 bahagian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit Buntar pada Selasa atas pertuduhan membunuh bulan lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ng Yu Lim, 42, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan membunuh iaitu dengan menyebabkan kematian ke atas Ong Suan Bee, 68, antara jam 2.30 pagi hingga 3 pagi di sebuah rumah di Taman Kerian pada 26 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Julai depan bagi mendapatkan laporan perubatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: Ibu dikerat 15, dibuang dalam tangki kumbahan

BACA: Luka tetak, potong punca kematian warga emas - Polis

Media melaporkan penemuan potongan daging dipercayai anggota badan manusia dalam tangki kumbahan kira-kira jam 3.30 petang pada 4 Jun lalu.

Kes pembunuhan kejam itu terbongkar selepas jiran terhidu bau busuk yang luar biasa dari rumah wanita itu sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Mangsa dilaporkan hilang oleh anak perempuannya sejak 28 Mei lalu dan penemuan cebisan daging itu membawa kepada penahanan suspek yang merupakan anak sulung mangsa untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal dijalankan mendapati, suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental telah bertindak kejam akibat rasa tidak berpuas hati terhadap pembahagian harta pusaka mendiang bapanya yang telah meninggal dunia 12 tahun lalu.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian