KUANTAN: Hasrat seorang lelaki untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya tidak kesampaian apabila lemas ketika mandi di Pantai Sepat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan mangsa, Khoo Kim Chai, 36, pada 1.36 tengah hari.

Beliau berkata Khoo dari Klang, Selangor berkunjung ke pantai itu pada 9 pagi tadi dengan seorang rakan lelakinya berusia 37 tahun dan dua kanak-kanak.

"Khoo dan rakannya yang sedang bermain ombak kemudian telah dibawa arus, bagaimanapun rakannya berjaya menyelamatkan diri.

"Khoo dikatakan telah hilang dari pandangan menyebabkan rakannya meminta bantuan orang ramai untuk menyelamat hingga dia ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata Khoo kemudian diberikan bantuan pernafasan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang sementara menunggu ketibaan pihak ambulans.

Beliau berkata Khoo dilaporkan meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan Kapten (PA) Ahmad Azmi Hanafiah dalam kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.50 pagi daripada pekerja pembersihan yang bertugas di sekitar pantai itu.

Beliau berkata anggota penyelamat pantai bersama seorang doktor yang kebetulan berada di lokasi kejadian telah membantu Khoo dengan memberikan bantuan pernafasan sebelum di bawa ke HTAA sekitar 10.30 pagi.

-- BERNAMA