Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut, dua cedera kereta terbabas di Bukit Mertajam

Kereta Terbabas_JBPM Pulau Pinang.
Sebuah BMW terbabas sebelum merempuh dua kenderaan di bahu jalan di Jalan Baru, Taman Pauh, Bukit Mertajam, awal pagi tadi, mengakibatkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera. - Foto JBPM Pulau Pinang
Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta BMW dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum merempuh dua kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Baru, Taman Pauh di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Faizwan Noor Salihi, 29, yang merupakan pemandu BMW, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata insiden itu turut melibatkan seorang pejalan kaki yang kini dirawat di Hospital Seberang Jaya bersama penumpang kereta berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 2.31 pagi sebelum sepasukan anggota bomba tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah BMW, Perodua Myvi dan Proton Persona serta seorang pejalan kaki dengan pemandu dan penumpang BMW tersepit di dalam kenderaan dinaiki mereka.

"Bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan kedua-dua lelaki yang tersepit pada 3.22 pagi dan pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan ketika kejadian, tiada pemandu atau penumpang berada dalam kereta Perodua Myvi dan Proton Persona.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement