GUA MUSANG: Seorang lelaki warganegara Nepal maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 82 Jalan Gua Musang-Lojing di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati kejadian jam 11 malam itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 47 tahun dalam perjalanan dari Gua Musang hendak menuju ke Cameron Highlands, Pahang.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan masuk ke laluan kereta terbabit dan merempuhnya.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. -Sinar Harian