IPOH:Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Perdana yang dipandunya terbabas ke bahu jalan di Jalan Ipoh - Lumut, dekat sini, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Hisham Othman, 52 tahun, yang beralamat di Taman Universiti, Bandar Seri Iskandar, Tronoh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.10 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba telah mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Omar Mahmud tamat pada jam 10.54 malam.