SEREMBAN: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 244.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa Muhammad Fitriazrul Hashim, 21, yang memandu kereta Honda Jazz meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas tercampak keluar dari kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil siasatan awal mendapati, sebuah kereta Honda CRV yang sedang bergerak dari arah Kuala Lumpur menuju ke Melaka telah dilanggar oleh kereta Honda Jazz dipandu mangsa dari arah belakang.

"Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang tengah jalan sekali gus menyebabkan tercampak keluar dari kenderaan.

"Kemudian sebuah kereta jenis Mercedes di lorong kanan arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta mangsa," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Nanda berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban bagi proses bedah siasat.

"Bagaimanapun, pemandu Honda CRV lelaki berusia 65 tahun dan pemandu Mercedes lelaki berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


*Berita asal di Sinar Harian