Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut terjatuh dalam lubang tangki septik

Lelaki meninggal dunia ketika pasang tangki septik
Seorang lelaki maut selepas dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah dan terjatuh ke dalam lubang pembinaan tangki septik sedalam kira-kira tiga meter di Taman Permai, Demit petang tadi. - Foto JBPM/via Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah dan terjatuh ke dalam lubang pembinaan tangki septik sedalam kira-kira tiga meter di Taman Permai, Demit di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Mohd Ridwan Baharuddin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 5.28 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 9 minit kemudian.

“Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati seorang lelaki berada di dalam lubang dengan kedalaman kira-kira tiga meter dan kelihatan tidak sedarkan diri.

“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum mangsa diperiksa pihak Kementerian Kesihatan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata mangsa, Zakari Mat Jusoh, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

Mohd Ridwan berkata berdasarkan maklumat daripada keluarga, mangsa mempunyai sejarah masalah jantung dan baru menghadiri temu janji perubatan minggu lepas.

“Mangsa ketika kejadian dikatakan sedang mengukur untuk memasang tangki septik ke dalam lubang tersebut sebelum dipercayai rebah dan terjatuh.

“Maklumat awal daripada pasukan perubatan mengesyaki mangsa berkemungkinan mengalami serangan jantung sebelum rebah dan terjatuh,” katanya.

Beliau berkata operasi ditamatkan pada 5.53 petang dan jenazah Zakari diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi melibatkan enam anggota BBP Kota Bharu dan sebuah jentera Fire Rescue Tender.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement