KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat tiga sebuah unit kediaman di Jalan Gombak di sini ketika cuba melarikan diri semasa serbuan polis pada Rabu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima makluman berhubung insiden itu kira-kira jam 9.07 malam.
Advertisement
"Ketika kejadian sepasukan polis sedang menjalankan serbuan berkaitan kes curi motosikal di sebuah unit kediaman di lokasi tersebut.
"Dua suspek dipercayai cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, salah seorang daripada suspek berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia akibat terjatuh di tempat kejadian, manakala seorang lagi lelaki dilaporkan selamat.
"Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan sama, polis turut menahan 12 individu terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 42 tahun.
"Dua daripada individu yang ditahan merupakan warga Indonesia. Kita turut merampas dua motosikal dipercayai motosikal curi selain beberapa jenis dadah yang ditemui di kediaman tersebut," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan semua individu yang ditahan dalam kegiatan berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran awam, selain tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya. - Sinar Harian