ALOR SETAR: Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja pendawaian maut selepas terkena renjatan elektrik di sebuah premis industri di Jalan Perusahaan 9, Bandar Baru Mergong, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mind Zain, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.09 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Zulkifli Md Isa tiba di lokasi sejurus selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.

"Operasi disertai lapan anggota termasuk penyelia bersama sebuah jentera dan dua buah motosikal RIM.

"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berusia 60-an berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis industri terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Ooi Cheng Siong, 59, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.