KULIM: Seorang lelaki maut ditembak selepas bertindak cuba menyerang anggota polis dengan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Ulu Mahang, Karangan, Kulim pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi, apabila suspek pada mulanya menyerang seorang lelaki warga emas menyebabkan mangsa cedera di jari.

Beliau berkata, insiden itu berlaku selepas mangsa cuba menegur suspek dalam keadaan mundar-mandir di hadapan rumahnya.

Katanya, sebaik menerima laporan daripada orang awam mengatakan berlaku kejadian amuk.

“Dua anggota polis dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota polis mengarahkan suspek keluar dari kawasan rumah mangsa namun suspek bertindak melarikan diri menghala ke bangsal yang terletak berhampiran," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, pada Khamis.

Mohd Roze berkata, anggota polis berusaha memujuk suspek supaya keluar dari bangsal berkenaan namun suspek bertindak menyerang anggota polis.

“Anggota polis yang sedang memujuk suspek berada pada jarak tiga meter dan disebabkan bimbang keselamatan rakannya itu, seorang lagi anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek.

"Supek rebah dan merangkak ke arah anggota polis berkenaan sebelum meninggal dunia.

Katanya, hasil siasatan kita mendapati suspek berusia 44 tahun itu dipercayai penagih dadah.

Manakala hasil siasatan lanjut polis menemui dadah dan peralatan menghisap dadah di dalam bangsal itu.

Jelas Mohd Roze, tembakan dilepaskan anggota berkenaan adalah atas dasar untuk menyelamatkan orang awam iaitu mangsa pertama yang diserang iaitu warga emas dan anggota polis.

Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah.

Ekoran kejadian itu, polis merampas sebilah parang, baju dan kain yang digunakan untuk membalut parang bagi membantu siasatan.

Kes disiasat kita mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.