AMPANG JAYA: Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditahan susulan insiden mengamuk dan mengugut mahu mencederakan ibunya di rumah mereka di Pandan Indah, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, suspek yang memegang senjata tajam berupa gunting, tidak semena-mena mengacukannya kepada mangsa sambil mengugut untuk membunuhnya.

Dia yang berusia 28 tahun turut mendakwa wanita itu yang juga seorang ibu tunggal sebagai bukan ibunya.

"Wanita berusia 54 tahun itu yang terkejut dan khuatir dicederakan terus masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu.

"Ketika ketika kejadian hanya mangsa, suspek dan anak mangsa berusia sembilan tahun berada di rumah itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Katanya, berdasarkan laporan dibuat mangsa, polis telah menahan lelaki itu.

Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

"Ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine," katanya.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati suspek di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan tidak dapat berfikiran secara waras.

Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 21 Ogos depan.