KUALA PILAH: Polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh membabitkan rakan senegaranya pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, lelaki berusia 21 tahun itu yang juga merupakan sepupu kepada mangsa, ditahan pada hari sama, tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan melarikan diri.

"Pihak polis menerima panggilan telefon pada jam 3 pagi daripada seorang lelaki merupakan penternak haiwan melaporkan pekerjanya, rakyat Myanmar berusia 26 tahun telah meninggal dunia di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi di sini.

"Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa termasuk lain-lain bukti di lokasi kejadian.

"Bertindak atas maklumat kes tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Myanmar di tepi jalan Selaru, Dangi kurang satu jam selepas laporan diterima.

"Turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak.

"Tangkapan telah mendapat perintah tahanan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-48429999. — Sinar Harian