SIBU: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan maut dalam tandas di bilik sebuah tempat penginapan sewa yang terbakar di Jalan Tukang Besi di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Johnathan Goh Yow Chyang, 43, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
Advertisement
“Pasukan keluaran operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral dengan kekuatan 10 anggota dan jentera digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan kejadian pada 6.53 pagi.
“Kebakaran didapati berlaku di sebuah bilik di tingkat bawah yang menyebabkan musnah sepenuhnya dan hasil pemeriksaan menemukan seorang lelaki di dalam ruangan tandas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, api berjaya dikawal pada 6.58 pagi dan operasi tamat pada 8.40 pagi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA