Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan merogol seorang wanita berusia 22 tahun yang baharu dikenalinya secara dalam talian, dua minggu lalu.



Tertuduh, Hayat Shamas, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.



Mengikut pertuduhan pertama dibawah seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepuluh hingga 30 tahun dan sebatan, tertuduh didakwa merogol mangsa tanpa kerelaan dan telah meletakkan mangsa dalam ketakutan kematian atau kecederaan.



Tertuduh turut didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang sama.



Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut seksyen 377C Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun serta sebatan.



Tertuduh yang juga seorang penganggur turut didakwa atas satu lagi pertuduhan merompak seutas gelang tangan dan cincin emas mangsa bernilai anggaran RM4,900.

Rompakan itu dibuat dengan bersenjatakan pisau yang boleh menyebabkan kematian dan didakwa mengikut seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.



Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan di tepi jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Ayer Keroh kira-kira jam 1.15 pagi, 6 Ogos lalu.



Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Kharen Jit Kaur merayu mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan anak guamnya telah bertunang dengan warga Malaysia dan dalam urusan menguruskan pernikahan yang dijadual berlangsung September ini.



Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Hayatul Wirdah Mohd Yunos bagaimanapun membantah sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh bukan warganegara selain tertuduh juga tahu tempat tinggal mangsa.



Bagaimanapun hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan hanya tunangnya yang merupakan warganegara sebagai penjamin.



Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan selain menetapkan syarat tambahan iaitu hanya tunangnya sebagai penjamin, tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.



Mahkamah turut menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.