KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memandu secara melulu hingga menyebabkan empat sekeluarga yang menaiki motosikal terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Sungai Besi, di sini, tengah hari Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 21 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dari arah Sungai Besi ke Balakong menukar lorong secara tiba-tiba dan melanggar motosikal yang dinaiki empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, akibat kejadian itu, kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, di sini.

"Laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak dan pemandu Ford Ranger itu ditahan sebelum dituduh di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur esok (Rabu)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sarifudin berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pejabat JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba. - BERNAMA