Lelaki patah tangan, kaki kereta hilang kawalan rempuh bas

eadaan kereta dan bas yang terlibat kemalangan di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Kampung Batu 29, Setiu pada Sabtu. - Foto JBPM
SETIU: Seorang lelaki patang tangan dan kaki selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Kampung Batu 29 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.15 pagi itu melibatkan sebuah bas jenis Scania dan sebuah kereta Honda City.
Menurutnya, bas berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, manakala kereta Honda City dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang datang dari arah Kota Bharu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan bas tersebut.
"Akibat rempuhan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan serius iaitu patah tangan dan kaki manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, bas berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kiri, manakala kereta Honda City mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
"Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujar beliau. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


