SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki positif dadah jenis ganja yang disyaki menyebabkan nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu ditahan di lokasi kejadian sejurus kemalangan.

"Ketika ditahan dia berada dalam keadaan khayal dan pemeriksaan ke atas keretanya menemukan sepaket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 3.39 gram.

"Lelaki itu yang merupakan penganggur kemudian direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam insiden pada pukul 10.40 pagi semalam, Perodua Myvi yang dipandu lelaki tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Avanza yang berada di hadapan keretanya.

Nanda berkata akibat rempuhan itu, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun itu berpusing beberapa kali dan melanggar dua kereta lain, selain tayar belakang kiri kereta itu tercabut lalu terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan mengenai sebuah lagi Perodua Myvi.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/69.

Terdahulu, rakaman kemalangan itu turut tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

-- BERNAMA