Seorang lelaki rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Barayong Torodong Telupid dekat sini malam tadi.

Mayat mangsa, Juni Ambilai, 44 tahun ditemui di ruang tamu rumah tersebut selepas operasi pemadaman selesai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamalludin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.10 malam dan menggerakkan sebuah jentera bersama empat anggota ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 133 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

Katanya selain itu, sebuah lagi jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran turut membantu dalam operasi berkenaan.

"Operasi tamat pada 1.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini.