Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam 11 kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah Seberang Perai Tengah sejak April lepas, ditahan di rumahnya di Kampung Alma, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razaruddin Husain @ Abdul Rasid berkata lelaki berusia 22 tahun yang menggunakan pistol mainan ketika menyamun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi.

"Lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai bergerak secara bersendirian. Polis merampas dua motosikal dan sepucuk pistol mainan daripada lelaki terbabit," katanya di sini.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan jenayah itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Razaruddin berkata tiga lelaki yang tinggal berjiran dilapor mengalami kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian pecah kereta di Taman Alma Ria, di sini.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun itu menyedari kereta yang diparkir di hadapan rumah mereka itu dipecah kira-kira pukul 5 pagi ini selepas terdengar bunyi bising, katanya.

Beliau berkata antara barang yang dilarikan ialah smart tag, duit syiling dan komputer riba.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.