Seorang lelaki meninggal dunia selepas bertindak membakar diri dalam kejadian di rumahnya di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun ditemui sudah tidak bernyawa di tempat kejadian dengan kesan melecur pada badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 66 tahun yang menemui anaknya dalam keadaan melecur di seluruh badan selepas membakar diri dengan petrol.

Nik Ros Azhan berkata, bapa mangsa memberitahu bahawa mangsa tiada musuh dan tidak mempunyai hutang.

Bagaimanapun mangsa pernah memaklumkan bahawa dia mempunyai penyakit tetapi dia tidak pasti mengenai penyakit anaknya itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.