Skip to main content

Malaysia

Lelaki tanpa dokumen ditahan, pukul, ugut gantung adik tiri

61770189851_HandcuffGari.jpg
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - Gambar hiasan
Advertisement

TAWAU: Polis  menahan seorang lelaki tanpa dokumen di hadapan sebuah rumah di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas di sini semalam, selepas dipercayai memukul adik perempuan tiri berusia sembilan tahun menggunakan batang penyapu dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata suspek berusia 40-an itu ditahan pada 2 petang selepas ibu mangsa berusia 30-an yang juga ibu tiri suspek membuat laporan kerana lelaki berkenaan dipercayai turut mengugut mahu menggantung adik-adik tirinya.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada 9 pagi. Suspek dipercayai mengamuk sebelum memukul adik tirinya menggunakan batang penyapu, selain mengugut untuk menggantung adik-adik tirinya jika ibu mangsa keluar bekerja.

"Kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku, suspek difahamkan sering mengamuk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rosdi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menasihati agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dengan menghubungi talian 089-772121 atau melalui aplikasi mudah alih Polis Diraja Malaysia iaitu Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement