Seorang lelaki warga negara Amerika Syarikat (AS), ditemukan maut dalam sebuah bilik hotel terkenal di George Town ,Pulau Pinang, hari ini.

Warga emas berusia 67 tahun itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di atas katilnya oleh pekerja hotel itu pada jam 11 pagi Rabu.

Menurut pihak hotel, lelaki yang dikenali sebagai James Edward Mahoney mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada Selasa sebelum kematiannya disedari pekerja yang mahu mencuci bilik berkenaan pagi ini.

Terkejut dengan penemuan itu, pekerja pencuci hotel memaklumkan kepada pengurusan hotel sebelum mereka menghubungi ambulans.

Penolong Pegawai Perubatan Hospital Pulau Pinang ( HPP) yang tiba dilokasi membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu dan mengesahkan kematian lelaki tersebut.

Siasatan pihak polis setakat ini mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki berkenaan. - Foto PDRM

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan di lokasi kejadian menemui bungkusan ubat di atas katil berasingan dipercayai milik si mati.

Katanya, siasatan pihak polis setakat ini mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki berkenaan.

Mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke HPP untuk bedah siasat.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.