BALING : Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa disyaki dibunuh rakannya dalam insiden pergaduhan di ladang tembikai Batu 7, Binjul, Kuala Ketil, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berusia 47 tahun memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan dua pekerja ladang tembikai itu menyebabkan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi yang cedera melarikan diri sekitar jam 7.50 pagi.

Beliau berkata, berikutan itu, pegawai dan anggota polis kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian iaitu di lubang pembuangan sampah sawit.

"Hasil pemeriksaan di kawasan di tempat kejadian mendapati terdapat dua khemah yang didirikan bagi tujuan tempat penginapan 12 orang pekerja di ladang tembikai berkenaan.

"Kawasan lubang tempat mangsa ditemui adalah pada jarak kira-kira 500 meter dari khemah penginapan mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Shamsudin berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian itu disedari pengurus ladang selepas mendengar mesej pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya.

"Namun, selepas mendapati, kesemua pekerja di ladang itu sudah melarikan diri, dia terus membuat laporan polis di Balai Polis Tawar untuk memaklumkan perkara itu.

"Sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang tiba di lokasi kejadian menemui mangsa dalam keadaan terbaring di dalam lubang tempat pembuangan sampah di ladang berkenaan," katanya.

Shamsudin berkata, mangsa yang berusia 36 tahun ditemui dengan kesan tujuh kesan tikaman di bahagian dada dan satu kesan tikaman di bahagian rusuk kiri anggaran satu hingga empat sentimeter (sm).

"Unit anjing pengesan (K-9) polis turut dipanggil untuk membantu siasatan dan hasil pengesanan dalam radius 500 meter daripada tempat mayat mangsa telah menemui lima pakaian yang disyaki ada kesan percikan darah yang direndam di dalam baldi yang dijumpai di belakang khemah penginapan.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dianggarkan mati kurang daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemui," katanya.

Shamsudin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Star untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pengadu iaitu pengurus ladang itu ditahan untuk membantu siasatan kes ini dan mengaji pekerja asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen.

"Berikutan itu, polis sedang melakukan siasatan bagi mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.