TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Lim Hock Leng menjatuhi hukuman itu ke atas tertuduh, Benhar Hussin, 33, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Benhar didakwa memiliki dadah seberat 52.13 gram Methamphetamine di kawasan pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 8.30 malam pada 14 Januari 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain, manakala tertuduh diwakili peguam Victor Chee.

Mengikut fakta kes, Benhar ditahan pasukan polis selepas melarikan diri kerana terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan tertuduh menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 52.13 gram yang dipercayai milik tertuduh.

Tertuduh hanya menundukkan wajah dan diam ketika keputusan penghakiman dibacakan oleh Hakim Hock Leng.