Terkejut apabila menyedari rumah yang diduduki diserbu, seorang lelaki warga Pakistan dengan pantas bertukar menjadi 'spiderman'.

Suasana bertukar kecoh apabila suspek terus memanjat bumbung rumah dalam cubaan untuk melarikan diri daripada dicekup.

Namun ketangkasan anggota penguat kuasa berjaya menghalang tindakan lelaki terbabit yang hampir 30 minit berada di atas bumbung setelah enggan beri kerjasama.

Itu antara aksi yang dihadapi oleh Pegawai Penguatkuasa Imigresen yang menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah teres yang terletak di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang Izham Idris berkata, dalam serbuan yang dilakukan ke atas kediaman terbabit, lima lelaki warga Pakistan termasuk suspek telah berjaya ditangkap.

"Suspek akhirnya mengalah apabila mendapati semua kawasan telah dikepung.

"Kesemua mereka ditahan setelah hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan Pas yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.

Katanya, serbuan juga telah dilakukan ke atas empat buah rumah kampung yang terletak di Desa Tok Sani, Butterworth, sebuah rumah di Taman Chai Leng dan sebuah rumah di Taman Kuari, Bukit Mertajam.

"Hasilnya dua lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar, 17 wanita dan 1 kanak-kanak perempuan warga Indonesia telah berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Juru, Bukit Mertajam untuk siasatan lanjut.

"Siasatan ke atas pemilik premis sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Jelasnya juga, tahap keyakinan dan kepercayaan terhadapJabatn Imigresen Malaysia didapati semakin meningkat.

"Tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan kini kian dirasai dan menerima sokongan masyarakat seadanya," katanya.