KUALA LUMPUR : Keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) dapat membantu lembaga itu menambah baik pengurusan dan pentadbirannya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap RCI berkenaan.

“LTH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus.

"Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Kerajaan setuju tubuh RCI siasat Lembaga Tabung Haji - TPM


Siasatan pengurusan & operasi Tahung Haji dari 2014-2020

Jelas beliau, LTH sentiasa berusaha untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan pendeposit.

Terdahulu pada Rabu, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai LTH dari tahun 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Ujarnya, terdapat empat terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini termasuk menumpukan kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.