Hasrat seorang kerani kilang mengaut keuntungan dengan membeli ribuan kotak penutup mulut dan hidung untuk dijual semula tidak kesampaian apabila ditipu, menyebabkannya kerugian RM54,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian 15 Mac lalu, wanita berusia 37 tahun itu membuat tempahan 3,364 kotak penutup mulut dan hidung daripada seorang individu yang hanya dikenali melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek yang dipercayai seorang wanita itu kemudian meminta mangsa membuat pembayaran melalui akaun individu lain. Mangsa bersetuju dan membuat transaksi secara berperingkat pada 16 dan 17 Mac lalu.

“Setelah pembayaran selesai, mangsa dijanjikan untuk menerima penutup mulut dan hidung dipesannya melalui sebuah lori yang akan membuat penghantaran pada 17 Mac.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang penghantaran pada waktu dijanjikan sebelum sedar dia sudah diperdaya apabila penjual terbabit gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, polis sedang mengesan suspek melalui nombor telefon serta akaun yang digunakan dalam transaksi berkenaan.

Sementara itu, Arshad menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap peningkatan permintaan produk tertentu ketika negara berhadapan wabak COVID-19.

BACA: Penuntut rugi ditipu beli penutup hidung dan mulut tidak wujud