KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) kepada pemastautin di Malaysia yang mempunyai pendapatan yang disimpan di luar negara.

Agensi itu menjelaskan ia selaras dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada punca luar negara sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2022.

"Program ini akan dilaksanakan mulai 3 Jan, 2022 hingga 30 Jun, 2022 berlandaskan kriteria iaitu kadar cukai tiga peratus kasar ke atas pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh tersebut sepertimana yang dicadangkan mengikut Rang Undang-undang Kewangan 2021.

"Kriteria lain adalah tiada semakan audit, siasatan atau penalti ke atas pendapatan yang dibawa masuk dalam tempoh PKPP malah semua pendapatan yang dibawa masuk akan diterima secara suci hati oleh LHDN," menurut agensi itu dalam kenyataan pada Selasa.

LHDN menambah, pendapatan hendaklah dibawa masuk atau diremit dalam tempoh PKPP dan pembayar cukai perlu membuat pengisytiharan untuk menyertai PKPP selewat-lewatnya 30 hari selepas tamat tempoh PKPP.

Di samping itu, bayaran cukai hendaklah dibuat mengikut aturan pembayaran biasa yang telah ditetapkan bagi tahun taksiran 2022 atau 2023, yang mana berkenaan, jelasnya.

PKPP itu tidak melibatkan pendapatan yang terbit dari Malaysia yang tertakluk kepada cukai bagi tahun taksiran 2021 dan tahun-tahun taksiran seterusnya dan diremit atau dibawa balik dalam tempoh PKPP, tambahnya.

LHDN menjelaskan selepas tamat tempoh tersebut, pihaknya akan menyemak dan meneliti maklumat pendapatan pemastautin Malaysia yang disimpan di luar negara yang telah diterima melalui perjanjian pertukaran maklumat percukaian dengan negara-negara lain.

"Sekiranya, berdasarkan semakan, didapati pendapatan yang disimpan di luar negara yang berpunca dari Malaysia masih belum dilaporkan, taksiran tambahan boleh dibangkitkan berserta dengan penalti selaras dengan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967," menurutnya.

Justeru, pihak LHDN menggalakkan pembayar cukai untuk menyertai program khas yang ditawarkan ini bagi mengemas kini kedudukan cukai mereka.

Pihak LHDN akan mengeluarkan soalan lazim serta garis panduan berkaitan PKPP ini kepada umum yang boleh diperolehi di portal rasmi LHDN, www.hasil.gov.my

-- BERNAMA