KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy menegaskan bahawa tiada pengganti kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada jutaan pelarian Palestin, lapor Palestine News and Info Agency (WAFA).
Beliau menegaskan peranan utama agensi itu di lima kawasan operasinya.
Dalam pertemuan dengan Pemangku Pesuruhjaya Agung UNRWA Christian Saunders, Fahmy berkata usaha Israel untuk melemahkan peranan agensi itu di Wilayah Palestin yang Diduduki bertujuan menghapuskan isu pelarian dan menafikan hak kemanusiaan rakyat Palestin untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas.
Beliau menggesa negara penderma menampung kekurangan pembiayaan UNRWA sambil memberi amaran bahawa jurang kewangan yang semakin melebar menyebabkan pengurangan perkhidmatan agensi itu.
Fahmy turut menegaskan keperluan untuk mempertahankan mandat UNRWA yang diwujudkan menerusi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1949, selain menangkis segala usaha untuk menjejaskan kredibilitinya atau menimbulkan keraguan terhadap sifat berkecuali misi kemanusiaan agensi berkenaan.
-- BERNAMA-WAFA