Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata beliau akan meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Isnin ini sekiranya pemimpin DAP itu gagal memohon maaf menjelang esok.

Katanya tempoh empat hari yang diberikan kepada Lim untuk berbuat demikian menerusi surat tuntutan permohonan maaf yang dihantar oleh pihaknya kepada Setiausaha Agung DAP tersebut akan tamat esok.

"Kalau dia tidak beri maklum balas kepada surat (tuntutan permohonan maaf) saya, hari Isnin ini saya akan mulakan tindakan saman saya," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata Peringkat Parlimen Baling, di sini hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu menghantar surat tuntutan permohonan maaf kepada Lim susulan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menerusi surat itu, Abdul Azeez menuntut Lim membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media arus perdana serta menarik balik kenyataan yang mengaitkannya dengan projek tersebut.

-- BERNAMA